Rabu, 27 Mac 2013

Asasi atau diploma?



   Asasi atau diploma? Itulah persoalan yang sering timbul bagi pelajar lepasan SPM. Yang mana satu lebih bagus bagi mereka dan terbaik untuk berjaya dalam arus kehidupan sekarang. Kedua-duanya mempunyai pro dan kontra yang sama hebat dan tak dinafikan.

   Pilihan yang lebih bagus pilihlah ikut hasrat hati. Namun ada juga insan yang gagal membaca tafsiran hati. Bagi aku, diploma lebih bagus untuk berjuang dalam peluang pekerjaan berbanding dengan degree.
Beberapa universiti awam di Malaysia menawarkan program asasi seperti UIAM Petaling Jaya, UiTM Puncak Alam, UPM, UM Petaling Jaya, dan lain-lain. Universiti swasta juga menyediakan program asasi seperti UNITEN dan Kolej Mara Kuala Nerang. Kebanyakkan pelajar (seperti aku) lebih suka memilih program asasi sebagai jalan pintas ke peringkat sarjana muda/degree.

   Setahun saja untuk menghabiskan program asasi (dua tahun di CFS IIUM) dan kemudian boleh terus mengambil degree dalam bidang tertentu. Penjimatan masa dua tahun berbanding dengan diploma menyebabkan program ini menjadi pilihan. Malah asasi turut dianggap sebagai program matrikulasi, menyebabkan pelajar yang belajar asasi di universti awam turut menikmati elaun setiap semester.

   Kelemahannya ialah bidang asasi tiada bidang pengkhususan. Maknanya semua budak asasi akan belajar semua perkara secara umum, sama seperti SPM. Mungkin ini akan menyebabkan sedikit masalah sesudah mereka habis program asasi dan keliru untuk memilih bidang ketika peringkat degree nanti. Berbeza dengan pelajar diploma yang sudah ada bidang pengkhususan sejak tahun pertama. Maka mereka sudah ada hala tuju ketika memilih bidang di peringkat degree.

   Tekanan budak asasi pula sangat tinggi kerana perlu menghabiskan semua topik pembelajaran dalam masa setahun. Walaupun ada pelajar asasi UIAM yang mengambil masa dua tahun, namun itu juga mendatangkan tekanan kerana mereka ditambah subjek komputer, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan pembelajaran agama.
 Jadual kuliah yang padat dan tekanan kuiz dalam kelas mungkin boleh menganggu prestasi pelajar.

   Tapi jika mereka rajin dan tak malas, maka semua halangan ini dapat diatasi. Lain pula hal dengan budak diploma kerana kurang tekanan sama ada daripada segi jadual atau apa-apa sahaja. Mereka seperti berbulan madu namun itu dapat menjerat mereka ke arah kelekaan.

   Andai kata siswazah lepasan diploma dibandingkan dengan lepasan degree atas tiket asasi, yang mana satu menjadi pilihan majikan? Mungkin sekarang ini, peluang itu sudah berpihak kepada lepasan diploma. Sebabnya kerana pengalaman, gaji dan ilmu pengkhususan. Pelajar diploma mempunyai teori dan praktikal iaitu tahu cara bekerja berbanding pelajar asasi. Gaji yang perlu kepada dibayar lepasan degree lebih tinggi daripada lepasan diploma. Sedangkan lepasan diploma sudah memadai untuk digaji berbanding lepasan degree atas tiket asasi.

   Ini bermakna lepasan diploma+degree lebih bernilai di pasaran pekerjaan berbanding dengan lepasan asasi+degree. Lepasan yang mempunyai praktikal lebih senang untuk diambil tanpa perlu dilatih lagi dan kerja sudah pun boleh berjalan dengan lancar. Sebaliknya dengan lepasan yang tiada praktikal, mungkin leceh untuk melatih mereka dan mengambil masa lama untuk memastikan mereka betul-betul mahir dengan pekerjaan mereka.

   Aku memang berminat dengan diploma sebab tak perlu tergesa-gesa nak cepat belajar. Habis tiga tahun, boleh terus kerja atau sambung belajar lagi ke peringkat degree. Malangnya pembiayaan diploma sangat mahal jika dibanding dengan asasi. Malah asasi siap ada elaun dari pihat KPTM. Aku cukup tak suka ambil PTPTN sebab kena bayar mahal balik lepas belajar. Kalau murah, dah lama dah aku ambil diploma.

   Tapi kalau kita dapat first class lepas habis belajar, PTPTN tu akan jadi biasiswa dan kita tak perlu bayar balik. Namun aku tak sebijak itu untuk meraih kecemerlangan sedemikian. 

Jadi pilihlah dengan sebaik-baiknya sebelum anda menyesal.

Tiada ulasan: